SELAMAT DATANG
Permohonan Kemasukan Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV)/ Kolej Vokasional 2012
Pelajar-pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 dan berminat menyambung belajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik atau Vokasional bagi sesi pengambilan tahun 2012 bolehlah membuat permohonan sekarang.
Pendidikan teknikal dan vokasional dihasratkan memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam pendidikan sains dan teknologi untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri negara. Bagi merealisasikan hasrat ini, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pelajaran menawarkan program-program yang membolehkan murid berpotensi menjadi separa profesional dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan.
Kementerian Pelajaran juga dalam proses menukarkan status Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional secara berperingkat-peringkat sebagai sebahagian usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik. Perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan.
Aliran
Bahagian Pendidikan Teknik Vokasional Kementerian Pelajaran menawarkan 3 aliran dan 1 kolej;
- Aliran Teknikal
- Aliran Vokasional
- Aliran Kemahiran
- Kolej Vokasional
Aliran Teknikal
Aliran teknikal dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat PMR. Objektif bidang teknikal adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan (pertanian dan perdagangan). Setelah tamat pengajian di SMT, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat diploma di IPTA (universiti, politeknik, kolej komuniti), kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum, atau Tingkatan 6.
Aliran teknikal menyediakan 6 pakej kursus iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, Sains Pertanian dan AgroTeknologi.
Aliran Vokasional
Aliran vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian baik dan sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorakvocational (berkaitan pekerjaan). Isi kandungan bidang vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke IPTA, IPTS, dan institut latihan kemahiran awam dan swasta, atau terus ke alam pekerjaan.
Aliran vokasional menyediakan 17 pakej kursus iaitu Automotif, Penyejukan dan Penyamanan Udara, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan, Elektrik dan Elektronik, Pengurusan Perniagaan, Fesyen, Katering, Seni Kecantikan, Perkhidmatan dan Perkembangan Kanak-kanak, Bakeri, Pelancongan, Hortikultur Hiasan dan Lanskap, Teknologi Tanaman, Agroindustri Tanaman, Agroindustri Ternakan dan Pengaturcaraan Komputer.
Aliran Kemahiran & Kolej Vokasional
Aliran kemahiran dikhususkan kepada murid pencapaian rendah pada peringkat PMR dan sangat cenderung kepada pembelajaran secara hands-on (amali). Isi kandungan kursus-kursus bidang kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. Murid yang tamat dengan jayanya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPK akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri.
Murid akan dilatih menjadi tenaga kerja mahir untuk bekerja di industri atau membuka perniagaan sendiri apabila tamat pengajian. Disamping itu juga, murid boleh melanjutkan latihan kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti, dan pelbagai institut latihan kemahiran swasta.
Mulai tahun 2010, BPTV memperkenalkan program traineeship kepada murid aliran ini jika mereka berminat dan mendapat persetujuan ibubapa. Program ini membolehkan murid mengikuti pembelajaran di sekolah selama 3 hari, dan 2 hari di tempat kerja yang sesuai dengan kursus yang diikuti murid. Tempat kerja ditentukan dengan persetujuan sekolah dan ibubapa dengan kerjasama industri. Program traineeship ini memberi peluang murid mendapat pendedahan awal kepada alam pekerjaan semasa di bangku sekolah lagi.
Aliran kemahiran menyediakan 20 pakej kursus iaitu Pemesinan, Jurukimpal, Pelukis Pelan Kejuruteraan Mekanikal, Juruteknik Automotif, Mekanik Penyejukbekuan & Penyamanan Udara, Pembuat Perabot, Jurubina Bangunan, Jurubina Bangunan (Asas Kayu), Jurukerja Paip, Pelukis Pelan Senibina, Timber Processing and Finishing, Juruteknik Elektrik, Juruteknik Elektronik Industri – Peralatan, Demi Chef, Pembuat Pakaian Wanita, Pendandan Rambut, Jurukecantikan, Juruteknik Akuakultur, Juruteknik Ladang Pertanian dan Jurupemprosesan Makanan.
Kolej Vokasional pula menyediakan 14 pakej kursus iaitu Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automotif, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Teknologi Elektrik, Seni Kulinari, Kosmetologi, Fesyen dan Membuat Pakaian, Hortikultur Hiasan, Landskap, Mekanisasi Agro, Agroindustri Tanaman, Agroindustri Ternakan Ruminan dan Agroindustri Ternakan Poltri
Syarat Umum
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
- Pemohon hendaklah:
- Berada di Tingkatan 3 dan akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011.
- Telah menduduki peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011.
- Kesihatan diri pemohon:
- Mestilah sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal.
- Bebas dari penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) dan lain-lain penyakit yang boleh membahayakan atau menghadkan pelajar daripada menjalankan kerja kursus dan kerja amali.
- Pemohon kursus Kejuruteraan (Elektrikal, Mekanikal dan Awam) mestilah tidak rabun warna.
Syarat Khusus
- Aliran Teknikal – Minimum B semua 8 mata pelajaran dalam peperiksaan PMR
- Aliran Vokasional – Pencapaian sederhana dalam peperiksaan percubaan PMR
- Aliran Kemahiran – Pencapaian rendah dalam peperiksaan percubaan PMR
- Kolej Vokasional – Pencapaian baik dalam peperiksaan percubaan PMR
Permohonan
- Permohonan ke SMT dan SMV boleh dibuat dengan dua cara:
- Secara online melalui laman web Kementerian Pelajaran di Sistem Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2012 .
- Secara manual dengan datang sendiri ke SMT atau SMV yang berdekatan. Borang permohonan boleh dimuat turun di Borang Permohonan Kemasukan Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Vokasional.
- Setiap permohonan hanya dibenarkan membuat pilihan satu sekolah/kolej dan dua kursus sahaja.
- Kemudahan asrama disediakan di hampir semua SMT dan SMV. Walaupun begitu kemudahan asrama tertakluk kepada had yang ditetapkan bagi setiap sekolah.
Temuduga
- Pemohon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga di SMT/SMV yang berkenaan.
- Pemohon diminta hadir temuduga dengan berpakaian lengkap sekolah. Sila bawa bersama salinan kad pengenalan, keputusan peperiksaan percubaan PMR 2011 yang telah disahkan oleh pihak sekolah pemohon dan sijil-sijil berkaitan.
Tarikh Tutup
Tarikh tutup permohonan untuk ke Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional 2012 adalah pada 19 Disember 2011.
Rayuan Kemasukan
Bagi permohonan yang tidak berjaya, pemohon boleh membuat rayuan terus melalui online atau terus ke Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) atau Sekolah Menengah Teknik (SMT) yang berkenaan.
Maklumat
- Permohonan dan maklumat lanjut sila kunjungi laman web Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2012.
- Sila semak Senarai & Kod Kursus SMT/SMV, Senarai Sekolah Menengah Teknik/Vokasional dan Senarai Laman Web SMT/SMV.
- Sila rujuk juga komen-komen di Permohonan Kemasukan Ke SMT / SMV 2010 dan SMT / SMV 2011 sebagai panduan.
- Sebarang pertanyaan dan maklumat tambahan boleh diperolehi dengan menghubungi Sekolah Menengah Teknik/Vokasional yang berhampiran atau Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional di talian 03-8884 5154 / 5031 atau e-mel info@bptv.edu.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan